Latar belakang Pendaratan Normandy

Antara 27 Mei dan 4 Jun 1940, lebih 338,000 orang askar daripada Pasukan Ekspedisi British (BEF) dan Tentera Darat Perancis, yang terperangkap di sepanjang pantai utara Perancis, telah diselamatkan semasa pemindahan Dunkirk.[13] Selepas Tentera Darat Jerman menceroboh Soviet Union pada Jun 1941, pemimpin Soviet, Joseph Stalin mula menekan rakan sekutunya agar mewujudkan barisan kedua di barat Eropah.[14] Pada akhir bulan Mei 1942 pihak Soviet Union dan Amerika Syarikat membuat satu pengumuman bersama iaitu "... persefahaman penuh telah dicapai berkenaan dengan tugas penting untuk mewujudkan satu barisan kedua di Eropah pada tahun 1942."[15] Namun, Perdana Menteri British, Winston Churchill memujuk Presiden Amerika, Franklin D. Roosevelt menangguhkan pencerobohan yang dijanjikan ini, walaupun dengan pertolongan Amerika, pihak Bersekutu tidak mempunyai angkatan tentera yang mencukupi untuk aktiviti sedemikian.[16]

Bagi menggantikan kepulangan segera ke Perancis, pihak Sekutu Barat membuat penyerangan di Kancah Operasi Mediterranean, di mana tentera British sudah ditempatkan. Menjelang pertengahan tahun 1943 kempen Afrika Utara telah pun dimenangi. Selepas itu, pihak Bersekutu melancarkan penyerbuan Sicily pada Julai 1943, dan kemudian menyerbu Itali pada September tahun yang sama. Pada masa itu, tentera Soviet sedang melancarkan penyerangan dan telah mendapat kemenangan besar dalam Pertempuran Stalingrad. Keputusan untuk melakukan penyerbuan lintas selat dalam tahun berikutnya telah diambil dalam Persidangan Trident di Washington pada bulan Mei 1943.[17] Perancangan awal dikekang oleh jumlah kapal pendarat, kebanyakannya telah digunakan di Mediterranean dan Pasifik.[18] Di Persidangan Tehran pada November 1943, Roosevelt dan Churchill berjanji kepada Stalin bahawa mereka akan membuka barisan kedua yang lama tertangguh pada Mei 1944.[19]

Mesyuarat Markas Tertinggi Angkatan Ekspedisi Bersekutu (SHAEF), 1 Februari 1944. Barisan depan: Ketua Marsyal Udara Arthur Tedder; Jeneral Dwight D. Eisenhower; Jeneral Bernard Montgomery. Barisan belakang: Leftenan Jeneral Omar Bradley; Laksamana Bertram Ramsay; Ketua Marsyal Udara Trafford Leigh-Mallory; Leftenan Jeneral Walter Bedell Smith.

Empat lokasi pendaratan telah dibangkitkan: Brittany, Semenanjung Cotentin, Normandy, dan Pas-de-Calais. Oleh kerana Brittany dan Cotentin ialah semenanjung, pihak Jerman mungkin dapat menghentikan kemaraan Bersekutu di segenting yang sempit, jadi lokasi ini ditolak.[20] Disebabkan Pas de Calais menjadi tempat paling terdekat antara tanah besar Eropah dengan Britain, pihak Jerman menganggap ia menjadi zon pendaratan awal yang paling sesuai, maka itu ia menjadi wilayah yang paling banyak diperkukuh.[21] Tetapi ia menawarkan sedikit perluasan, kerana kawasan ini dibatasi oleh banyak sungai dan terusan,[22] manakala pendaratan pada barisan luas di Normandy akan memberi ancaman serentak terhadap pelabuhan Cherbourg, iaitu pelabuhan pesisir di barat Brittany, dan satu serangan melalui darat ke arah Paris dan akhirnya ke Jerman. Normandy kemudiannya dipilih sebagai lokasi pendaratan.[23] Kelemahan paling serius pantai Normandy—kekurangan fasiliti pelabuhan—akan diatasi menerusi pembinaan pelabuhan Mulberry tiruan.[24] Satu siri kereta kebal khusus yang diberi nama Hobart's Funnies telah dicipta untuk menangani keadaan yang dijangkakan semasa Kempen Normandy, seperti mendaki tembok laut dan menyediakan sokongan dekat di pantai.[25]

Pihak Bersekutu merancang untuk melancarkan penyerbuan itu pada 1 Mei 1944.[22] Draf awal rancangan ini telah diterima di Persidangan Quebec pada Ogos 1943. Jeneral Dwight D. Eisenhower dilantik sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Ekspedisi Bersekutu.[26] Jeneral Bernard Montgomery dinamakan sebagai Panglima Kumpulan Tentera Darat Ke-21, yang mengandungi semua pasukan darat yang terlibat dalam penyerbuan.[27] Pada 31 Disember 1943 Eisenhower dan Montgomery yang pertama melihat rancangan itu, mencadangkan pendaratan amfibia oleh tiga divisyen dengan dua lagi divisyen bantuan. Kedua-dua jeneral ini menegaskan bahawa skala penyerbuan awal dikembangkan kepada lima divisyen, dengan penurunan payung terjun oleh tiga divisyen tambahan, bagi membolehkan operasi di barisan yang lebih luas dan mempercepat penawanan Cherbourg.[28] Keperluan untuk memperoleh atau menghasilkan kapal pendaratan tambahan bagi operasi yang diperluas bermakna bahawa penyerbuan itu terpaksa ditangguhkan hingga bulan Jun.[28] Akhirnya, 39 divisyen Bersekutu akan dihantar ke Pertempuran Normandy: 22 divisyen Amerika, 12 British, 3 Kanada, 1 Poland, dan 1 Perancis, dengan jumlah lebih sejuta orang askar,[29] semuanya di bawah perintah British.[30]

Rujukan

WikiPedia: Pendaratan Normandy http://www.awm.gov.au/education/talks/australians-... http://www.cmp-cpm.forces.gc.ca/dhh-dhp/his/docs/V... http://www.journal.forces.gc.ca/vo5/no2/book-livre... http://www.american-divisions.com/doc.asp?document... http://www.bbc.com/news/magazine-27715250 http://edition.cnn.com/2014/06/05/opinion/opinion-... http://historicalregistry.com/?page_id=222 http://issuu.com/wargravescommission/docs/normandy... http://cphpost.dk/news/denmark-finally-recognised-... http://www.history.army.mil/html/reference/Normand...